Pages

Selasa, 28 Mei 2013

Mutiara Buat Renungan



Mutiara Indah
  • Menangisi perpisahan akibat gagal bercinta adalah satu pembaziran mutiara jernih kita dan juga menguji sejauh mana kebodohan kita tetapi dengan menangisi dan menyesali akan dosa kita lantas meminta pengampunan dariNya akan lebih menjamin dunia dan akhirat.
  • Seseorang yang berperibadi kuat umpama besi waja semakin dibakar oleh keadaan semakin dititik olrh cabaran hidup semakin teguh dan waja untuk menhadapi hidup. Seseorang yang berperibadi lemah laksana tanah apabila diketuk oleh cabaran hidup ia akan berkecai.
  • Ajaran seorang ayah dan ibu seperti karangan bunga yang indah bagi kepalamu dan suatu kalungan bagi lehermu.
  • Sesungguhnya hati orang yang bodoh itu ada di mulutnya tetapi hati orang yang bijaksana ada di hatinya.
  • Anyamlah buih buih di laut demi membuktikan cinta yang suci tanpa menodai keaslian pantai itu.
  • Lihatlah di sekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu; sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus harapan, senyum yang kau berikan dan air mata yang kau titiskan, simpan…jadikan tauladan; segala yang kau pandang dan dengar, simpan…buat pedoman.
  • Seandainya kita tidak dapat menjadi garam yang dapat menahan daging daripada busuk, janganlah kita menjadi langau yang membusukkan daging.
  • Kegagalan pertama, tidak ianya terus gagal: tetapi ianya kan membangkitkan cita cita yang bersemangat lagi teguh bagi sesiapa yang pernah mengalaminya.
  • Adalah lebih baik memiliki wajah yang hodoh dari lidah yang hodoh kerana wajah yang hodoh tidak mungkin boleh menyakiti hati orang lain tetapi lidah yang hodoh boleh mengeluarkan kata kata yang melukakan.
  • Jagalah dirimu baik-baik, usahakanlah kemuliaanmu, kerana engkau dipandang manusia  bukan kerana rupa tetapi kerana kesempuraaan budi dan adab.
    ( Nabi Muhammad SAW)
  • Ciri orang yang berada ialah dia sangat rajin dan suka belajar, dia tidak malu belajar daripada orang yang berkedudukan lebih rendah daripadanya. ( Confucius )
    Manusia masih berbuat jahat padahal sudah ada agama, bagaimana jadinya kalau tidak ada agama?( Benjamin Frankli )
    Agama tanpa ilmu adalah buta. Ilmu tanpa agama adalah lumpuh.
                                                                                                                        ( Albert Einstein )
    Ilmu merupakan sesuatu yang bermanfaat dan bukannya apa-apa yang hanya dihafal semata-mata.( Imam Syafie)
    Langkah pertama untuk mendapatkan pengetahuan adalah dengan  mengetahui behawa kita tidak berpengetahuan. ( Cecil B. DeMille)
    Dosa yang seburuk-buruknya kepada rakan kita bukanlah kerana kita benci akan mereka tetapi kerana bersikap bermuka-muka terhadap mereka. ( George Bernard)
    Teman sejati ialah orang yang meraih tangan anda dan menyentuh hati anda. ( Heather Pryor)                                                                                                                                      
    Teman manusia yang sebenar ialah akal dan akalnya, musuhnya yang celaka adalah jahil.
    (Saidina Ali Bin Abi Talib )
    Seandainya saya punya waktu sebanyak lapan jam  untuk menebang pokok, akan saya habiskan enam jam untuk  mengasah kapak .( Abraham Lincoln)
    Kepuasan letaknya pada usaha, bukan pada hasil. Berusaha dengan keras merupakan kecemerlangan yang hakiki.  ( Mahatma Gandhi)
    Orang yang Berjaya dalam hidup ialah orang yang Nampak tujuannya  dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang.( Cecil B. DeMille)
    Orang yang gagal sekali-kali  tidak rugi, selagi dia belum berputus asa. ( Daniel Webster)

  • Kosa Kata Menarik

    Kosa Kata Menarik Dalam penulisan Karangan

    Isu Program Latihan Khidmat Negara
    Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan program yang akan meneruskan agenda perjuangan bangsa. Pihak kerajaan telah membuat kajian menyeluruh dan telus sebelum merangka matlamat dan strategi program ini. Program ini merupakan kayu ukur atau cerminan pelapis masa depan yang merupakan tonggak tamadun bangsa atau jati diri bangsa. Kejayaan program ini disandarkan pada kesungguhan, iltizam dan penegasan baru. Sayangnya dasar yang hebat ini tidak disertai oleh pelaksanaan yang cekap, telus dan terperinci.


    Isu Gejala sosial
    Gejala sosial semakin kronik akibat landaan gelombang globalisasi. Walaupun hanya segelintir remaja yang mempunyai komputer peribadi tetapi pengaruhnya sukar dibendung menyebabkan mereka terjajah minda dan budaya. Hal ini amat membimbangkan pihak kerajaan kerana mereka merupakan cerminan bangsa yang akan menongkah cabaran masa depan. Senario sosial yang dipaparkan mengetuk pintu hati segenap masyarakat untuk bertindak secara kolektif bagi merencanakan tindakan untuk mengatasi kemelut ini. Gagasan ”Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” akan dapat diimplimentasikan sekiranya gejala sosial ini dicantas di peringkat akar umbi. Seharusnya asas utama yang perlu ditekankan sejak kecil ialah pembinaan tahap sosialisasi anak melalui aspek keagamaan, bak kata pepatah Melayu, ”kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.




    Isu Persekitaran
    Peranan yang lebih signifikan perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk melestarikan alam sekitar. Usaha ini harus mendapat komitmen yang sederap daripada pelbagai pihak bagi menghasilkan persekitaran yang kondusif. Hal ini kerana alam sekitar yang bersih merupakan jantung dan nadi kehidupan di jagatraya ini. Jika masyarakat hanya memekakkan telinga, menutupkan mata dan membutakan hati, segala program yang dirancang akan kecundang. Ironinya, sokongan dan dukungan segenap masyarakat akan mewarnai kehidupan ini .



    Isu Pembangunan
    Pembangunan tanpa perancangan secara holistik ibarat api dalam sekam yang akan merencatkan aspirasi negara ini. Keghairahan sesetengah pihak yang berfikiran sempit dan obsesi menarah bukit dan menggondolkan kawasan akan mencetuskan pelbagai musibah. Seharusnya sebagai warga yang berhemah, kita haruslah menjunjung tanggungjawab dan meluaskan horizan minda untuk mengekalkan kelangsungan citra negara yang unggul. Pembangunan yang direncanakan mestilah bertunjangkan konsep mesra alam yang mampu memayungi kesejahteraan sejagat.


    Isu Sukan
    Sejajar dengan slogan ”Malaysia Boleh” setiap ahli sukan perlu memikul tanggungjawab yang amat berat untuk memanifestasikan slogan tersebut. Mereka perlu merangka matlamat strategi bagi menyahut cabaran tersebut. Jika slogan ini berjaya dimanipulasikan oleh ahli sukan negara sudah pasti kita dapat bersaing di peringkat global. Negara kita juga akan terkenal di persada dunia. Sokongan dan dukungan pihak kerajaan merupakan salah satu usaha yang boleh dilakukan untuk memperkasa sukan negara. Hal ini kerana ahli-ahli sukan memerlukan pohon rendang untuk bernaung supaya mereka dapat memberi komitmen yang jitu terhadap bidang sukan yang diceburi. Setiap ahli sukan seharusnya mampu menghidu peluang melakarkan kecemerlangan bagi memastikan bidang sukan negara ini gah di persada antarabangsa.


    Isu pendidikan

    Saban hari kita sering dihidangkan dengan berita tentang tindakan sadis golongan pelajar. Fenomena yang menjadi lumrah di kebanyakan institusi pendidikan ini, akan meranapkan keutuhan bangsa dan negara. Golongan pelajar ini seolah-olah kehilangan pedoman dan menyerah kalah dalam dunia yang dilingkari kepalsuan. Sebahagian daripada pelajar ini seolah-olah telah terjajah minda dan budaya, lantaran mengamalkan fahaman agama yang jumud. Konsep yang diuar-uarkan oleh pihak kerajaan iaitu untuk melahirkan modal insan yang berkualiti seolah-olah menemui jalan buntu.


    Isu Perpaduan
    Menyingkap nostalgia 13 Mei 1969, telah terpalit sejarah hitam di negara ini. Hakikat ini telah menggamit perasaan kita untuk memantapkan integrasi dan memperteguh ikatan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini. Masalah perpaduan yang meruncing bukan sahaja melumpuhkan ekonomi malah melampiaskan pelbagai musibah. Ketegaran perpaduan masyarakat di negara ini bukan sahaja menjadi pemangkin yang mencorakkan negara yang berdaulat namun turut akan menjadikan negara ini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara di dunia ini.


    Karya kreatif

    Sakinah menyisir masa lalunya dan menyelongkar nostalgia silam. Air matanya mula bertakung. Tidak terlintas di mindanya untuk mencantas tali persaudaraan yang terjalin. Segala peristiwa yang terungkai mengocak ketenangan kali perasaannya. Tindakan Imran, tunangannya seperti manusia yang pincang akhlak, rendah moral, sesat pemikiran dan menyeleweng daripada batas-batas keinsanan. Tidak pernah terdetik di sukmanya gelagat Imran yang meracuni kepercayaannya selama ini. Sakinah mendepani hari-hari yang mendatang walaupun kini dirinya semakin menanjak usia. Segala-galanya kini nampak begitu sempurna. Cukup sempurna setelah mengharungi badai dan onak kehidupan. Semuanya kini bagaikan seindah panorama Arafah.

    Isu media massa
    Sebagai pengguna yang celik teknologi komunikasi, penggunaan internet sudah tentu merupakan batu loncatan untuk kita menggapai kecemerlangan. Internet menyediakan pelbagai kemudahan serta tempat tersimpan khazanah ilmu yang mampu diterokai oleh semua peringkat masyarakat. Teknologi maklumat ini merupakan wahana yang dapat menyalurkan ilmu dan maklumat untuk dimanfaatkan oleh masyarakat di negara ini.


    Isu Pertanian
    Mutakhir ini, era perdagangan semakin mencabar dan didominasi oleh pasaran global. Hal ini demikian, pemasaran hasil pertanian haruslah menepati kriteria yang ditetapkan. Hanya produk yang bermutu tinggi dan menepati Skim Akreditasi Ladang Malaysia sahaja yang dapat meneruskan kelangsungan usaha para petani. Golongan petani digalakkan mengamalkan pertanian yang mesra alam, hasil pertanian yang berkualiti dan selamat untuk keperluan para pengguna. Jika gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan, maka pengiktirafan akan ditarik balik. Kementerian Pertanian haruslah mempromosikan secara lebih agresif bidang pertanian ini.


    Isu Penyakit
    Masyarakat hari ini telah digemparkan dengan pelbagai jenis penyakit berbahaya yang menggugah kesejahteraan sejagat. Wabak dan epidemik penyakit ini adalah sinonim dengan tindak tanduk songsang insani. Hal ini berlaku kerana mereka masih lagi terbelenggu dalam kepompong kejahilan. Sementelahan pula, segelintir masyarakat terlalu taksub dengan gaya hidup yang diwarisi sejak turun temurun dan tidak mahu membuat anjakan paradigma

    Prosa Tradisional Ting 4

    Prosa Tradisional Tingkatan 4 (Hikayat Khoja Maimun)

    Sinopsis dari Bab ke Bab

    Bab 1 :Khoja Maimun yang berasal dari negeri Ajam, mempunyai seorang isteri yang cantik bernama Bibi Zainab. Pada suatu hari, mereka pergi ke pekan lalu membeli seekor burung Bayan jantan dengan harga seribu dinar. Burung itu sungguh istimewa kerana boleh membuat ramalan. Menurut ramalannya, dalam masa tiga hari lagi Khoja Maimun akan mendapat keuntungan hasil daripada menjual sanbal ( wangi-wangian). Hasil keuntungan tersebut, Khoja Maimun turut membeli seekor burung tiung betina.

    Khoja Maimun keluar berniaga dan meninggalkan isteri tercintanya di rumah. Pemergiannya menyebabkan Bibi Zainab berasa sunyi lalu duduk di tepi jendela. Pada ketika itu dia terpandang anak raja negeri yang sangat kacak dan mereka saling jatuh hati. Bibi Zainab ingin berjumpa dengan anak raja itu lalu meminta nasihat burung tiung. Namun, tiung melarangnya dengan memberi nasihat bahawa perbuatan tersebut bertentangan dengan hukum Allah. Bibi Zainab amat marah mendengar nasihat itu, lantas menghempas tiung sehingga mati. Seterusnya, dia meminta pandangan daripada Bayan pula. Bayan berusaha melalaikan Bibi Zainab dengan bercerita kepadanya.
    Bab 2: Cetera Pertama
    Cetera pertama berkisar tentang Kisah Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Isteri saudagar berbuat demikian kerana mengesyaki bahawa Bayan telah membocorkan dia telah bermukah dengan seorang fakir kepada suaminya. Bayan menyembunyikan dirinya di dalam saluran tempat membuang air beras menyebabkan isteri saudagar tersebut mengganggap Bayan telah mati.

    Isteri saudagar menberitahu kepada suaminya bahawa bayan telah mati akibat dimakan kucing. Namun, helah itu diketahui suaminya menyebabkan saudagar tersebut marah dan menghalau isterinya. Dia telah pergi ke kubur Tuan Sheikh Wali Allah untuk memohon doa agar suaminya menerimanya kembali. Setelah bulu bayan tumbuh kembali, dia keluar dari tempat persembunyian lalu terbang ke kubur Tuan Syeikh untuk menyuruh isteri saudagar bertaubat. Bayan menyuruh isteri saudagar mencukur rambut dan bulu kening kerana ingin membalas dendam. Bayan menyatakan hasrat untuk membantu isteri saudagar agar dapat kembali ke pangkuan suaminya. Bayan menemui saudagar dan menjelaskan bahawa bukan isterinya yang membunuh Bayan, menyebabkan isterinya diterima kembali.

    Bayan menyuruh Bibi Zainab menemui anak raja yang dicintainya, malangnya hari telah siang. Pada hari yang lain Bibi Zainab sekali lagi ingin keluar menemuai anak raja itu, namun Bayan telah bercerita tentang Hikayat Taif untuk melalaikannya.
    Bab 3: Cetera KeduaTaif menemui Raja Tabristan kerana Raja Arab tidak menghargai jasa yang dicurahkannya selama ini. Kehadirannya dialu-alukan dan Raja Tabristan yang menganugerahinya emas, perak dan tempat penginapan. Dalam suatu majlis keramaian, Taif telah menyatakan hasrat untuk melawan Isteri Syah Alam sehingga menyebabkan rajanya murka.
    Suatu malam ketika Taif sedang berkawal, Raja Tabristan terdengar suara perempuan. Raja menitahkan Taif untuk menyiasat perkara tersebut. Menurut perempuan itu, jika Taif inginkan daulat raja Tabristan bertambah dan umur baginda dipanjangkan, dia harus membunuh anaknya sendiri. Taif begitu setia dan rela melakukan perkara tersebut, namun dihalang oleh perempuan itu kerana dia sebenarnya hanya ingin menguji Taif.

    Peristiwa itu sebenarnya diintip oleh Raja Tabristan. Ketaatan Taif menyebabkan dia dianugerahi sebuah negeri dan harta yang banyak. Cerita itu sekali lagi melalaikan Bibi Zainab menyebabkan dia tidak berkesempatan untuk bertemu kekasihnya. Malam berikutnya, Bayan bercerita lagi.

    Bab 4 : Cetera Ketiga
    Terdapat seorang suami yang begitu mencemburui isterinya menyebabkan segala tindak tanduk isterinyanya dikawal. Isterinya telah bercerita tentang seorang suami yang terlalu memahami isterinya dan tidak akan marah walaupun isterinya berlaku sumbang terhadapnya. Hal ini demikian kerana, dia pernah melihat suami yang cemburu turut diduakan oleh isterinya. Akibat terlalu cemburu si suami sanggup menjadikan dirinya seekor gajah untuk membawanya berjalan-jalan, kerana bimbang isterinya akan bersenda gurau dengan lelaki lain.
    Isteri kepada suami yang cemburu itu selalu menegaskan kepada suaminya bahawa dia setia, namun kesetiaannya masih diragui. Oleh sebab itu, dia membekalkan bunga dan sehelai kain kesumba ketika suaminya pergi belayar. Jika isterinya curang, bunga itu akan layu dan kain itu akan luntur
    Bunga yang dibawa oleh saudagar (suami) itu tidak layu walaupun ketika itu musim kemarau. Raja di negeri itu tertanya-tanya akan keunikan bunga itu menyebabkan saudagar itu menceritakan hal sebenar. Kebijaksanaan isteri saudagar itu menyebabkan Raja ingin menguji kesetiaan isteri saudagar dengan menghantar seorang hamba raja menemuinya namun gagal. Seterusnya, tiga orang hamba dihantar untuk menguji kesetiaan isteri saudagar tadi, namun turut mengalami kegagalan. Akhirnya raja sendiri yang pergi untuk menguji isteri saudagar tadi. Isteri saudagar menasihati Raja agar takut akan azab Allah dan segera bertaubat.

    Sekali lagi Bibi Zainab gagal menemui kekasihnya. Hajatnya masih tidak kesampaian apabila Bayan bercerita pula kisah Hikayat Serimala dengan Pandai Emas. Akhirnya, Bibi Zainab insaf dan sedar bahawa seorang perempuan mestilah taat kepada suaminya.


    TemaNilai etika yang harus diutamakan oleh golongan wanita terutamanya para isteri.

    Cerita-cerita yang disampaikan oleh Bayan berkisar tentang pentingnya kesetiaan seseorang isteri dan perlu memiliki etika yang murni untuk menghindarkan daripada berlaku curang.


    Persoalan1. Persoalan kebijaksanaan melaksanakan sesuatu tindakan.
    Apabila melihat Bibi Zainab menghempas burung tiung sehingga mati, bayan berpura-pura tidur.
    2. Persoalan kecurangan seorang isteri
    Semasa ketiadaan suami, Bibi Zainab jatuh hati dengan anak raja.
    3. Persoalan kewajipan menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga.
    Khoja Maimun keluar berniaga untuk mencari rezeki.
    4. Persoalan kejujuran dalam sebuah perhubungan
    Isteri saudagar jujur terhadap suaminya walaupun banyak lelaki cuba mendekatinya.

    PlotSecara keseluruhannya plot prosa tradisional digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:
    i. Permulaan
    Khoja Maimun digambarkan sebagai seorang saudagar yang kaya dan memiliki isteri yang cantik bernama Bibi Zainab. Mereka membeli burung bayan jantan dan tiung betina. Khoja Maimun mengusahakankan perniagaannya di tempat lain tanpa membawa isterinya.
    ii. Perkembangan
    Bibi Zainab rindu akan suaminya yang pergi belajar. Bibi Zainab jatuh hati kepada anak raja. Dalam Cetera Pertama, Bayan bercerita kisah seekor burung Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Manakala dalam cetera kedua, Bayan bercerita kisah Taif dengan Raja Tabristan. Seterusnya dalam Cetera Ketiga, Bayan bercerita kisah suami yang amat cemburu kepada isterinya.
    iii. Konflik
    Bibi Zainab ingin bertemu dengan anak raja semasa ketiadaan suaminya.
    iv. Klimaks
    Bibi Zainab berpakaian cantik untuk bertemu kekasihnya. Bayan menasihati Bibi Zainab supaya tidak berpakaian yang keterlaluan kerana boleh mendatangkan fitnah.
    v. Peleraian
    Bibi Zainab melupakan hasrat untuk bertemu kekasihnya kerana lebih berminat dengan cerita Hikayat Serimala dengan Pandai Emas. Akhirnya Bibi Zainab insaf kerana berniat curang terhadap suaminya.

    Watak dan perwatakan
    Watak Utama
    Burung Bayan
    • Bersaiz kecil
    • Taat pada tuannya – Burung Bayan cuba mengelakkan Bibi Zainab daripada berlaku curang kepada tuannya Khoja Maimun.
    • Pandai membuat ramalan – Ramalan Burung Bayan bahawa akan datang kafilah untuk membeli sanbal benar-benar terjadi.
    • Bijak bercerita – Cerita yang disampaikan Bayan menarik hati Bibi Zainab sehingga dapat mengelakkannya daripada berlaku curang.

    Watak SampinganBibi Zainab
    • Cantik
    • Penyayang terhadap suami – Dia ingin bersama-sama suaminya pergi berlayar.
    • Curang – Dia jatuh hati kepada putera raja dan ingin berjumpa pada waktu malam.
    • Kejam - Dia membunuh Tiung yang cuba menasihatinya.

    Khoja Maimun
    • Bertanggungjawab – Dia pergi belayar demi mencari rezeki.
    • Penyayang – Dia terlalu kasih akan isterinya Bibi Zainab.
    • Bijak – Khoja Maimun bijak menjalankan perniagaan.

    Taif
    • Setia – Taif tetap berbakti kepada raja walaupun dimurkai oleh raja.
    • Rela berkorban - Dia sanggup kematian anaknya demi Raja Tabristan.
    • Taat perintah – Taif menurut perintah Raja Tabristan yang mahu dia menyiasat tentang bunyi suara yang didengar.

    Latar MasaWaktu malam
    • Bibi Zainab berhias dengan cantik untuk menemui kekasih hatinya.
    Waktu pagi
    • Bayan selesai bercerita pada waktu pagi .

    Latar Tempati. Negeri Ajam
    • Khoja Maimun menetap di situ
    ii. Pekan
    • Khoja Maimun dan Bibi Zainab membeli burung bayan dan tiung di pekan.
    iii. Jendela
    • tempat Bibi Zainab melihat anak raja
    iv. Kubur Tuan Syeikh
    • Isteri saudagar berdoa di kubur dan bertemu semula dengan Bayan.

    Latar Masyarakat1. Masyarakat yang mementingkan ajaran agama -Isteri saudagar menasihati raja agar bertaubat
    2. Masyarakat yang menurut hawa nafsu - Bibi Zainab tidak dapat menahan perasaan berahinya terhadap anak raja
    3. Masyarakat yang pemurah - Raja Tabristan menganugerahi Taif pelbagai hadiah.
    4. Masyarakat yang jujur memikul amanah yang diberikan - Taif begitu setia dan jujur kepada Raja Tabristan.

    Teknik PlotPemerian
    Pengarang menceritakan suasana ketika Khoja maimun hendak pergi belayar –
    Setelah sudah maka Khoja Maimun pun bermohonlah kepada isterinya lalu dipeluk diciumnya akan isterinya yang cantik molek itu, muda molek dengan kelakuannya yang baik dengan tiada yang tidak baiknya itulah adanya, antara keduanya itu bertangisan dengan air matanya serta menaruh akan dua ekor burung itu. Maka Khoja maimun pun pergilah belayar.

    Dialog Dialog antara Khoja Maimun dengan penjual burung bayan di pekan –
    “Hendakkah tuan hamba membeli Bayan?”
    Maka sahut Khoja Maimun, “Berapa harganya?” Maka kata orang itu, “Seribu dinar Bayan hamba ini harganya.”

    Monolog dalamanTaif pun fikir di dalam hatinya, “Jikalau aku katakan yang sebenarnya pada raja bahawa sekali-kali raja tiada percaya seperti kataku. Jikalau demikian baik aku katakan yang lainlah.”

    Gaya Bahasaa) Simile
    ….dan ia seumpama air yang masin…kuning seperti muka orang durjana
    b) Penggunaan bahasa Arab
    Allah azzawajalla
    c) Perlambangan
    ….emas itu berkuasa….
    d) Inversi
    “ seribu dinar bayan hamba ini harganya”

    Nilai1. Nilai kasih sayang terhadap pasangan
    Contoh: Khoja Maimun menyayangi isterinya Bibi Zainab sepenuh hati.
    2. Nilai ketaatan terhadap ketua
    Contoh: Taif begitu taat akan perintah Raja Tabristan sehingga rela membunuh anaknya.
    3. Nilai prihatin terhadap keluarga
    Contoh: Khoja Maimun dan saudagar prihatin dengan tanggungjawab untuk mencari nafkah buat keluarga
    4. Nilai keinsafan atas kesalahan yang dilakukan -
    Contoh: Bibi Zainab insaf atas kesalahan yang dilakukan kerana cuba menduakan suaminya.

    Persoalan1. Kita mestilah patuh kepada perintah Allah agar dapat menghindarkan diri daripada kemungkaran
    2. Kita haruslah berusaha untuk mencari rezeki buat keluarga agar kehidupan lebih sejahtera.
    3. Kita perlulah menyayangi ahli keluarga dengan sepenuh hati agar memperoleh kebahagian yang berkekalan.
    4. Kita mestilah bijak menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi agar tidak mendatangkan kemudaratan.


    Latihan1. Senaraikan tiga perwatakan Bayan seperti yang terdapat dalam Hikayat Khoja Maimun.
    2. Tuliskan tiga nilai yang di peroleh dalam Hikayat Khoja Maimun berserta contoh.


    Jawapan1. Tiga perwatakan Bayan seperti yang terdapat dalam Hikayat Khoja Maimun ialah
    Bayan merupakan binatang yang bijaksana. Selain itu, taat kepada tuannya dan boleh membuat ramalan tentang sesuatu yang bakal berlaku pada masa depan.

    2. Tiga nilai yang terdapat dalam cerita ini ialah nilai kasih sayang terhadap pasangan contohnya Khoja Maimun menyayangi isterinya Bibi Zainab sepenuh hati. Kedua nilai ketaatan terhadap ketua contoh Taif begitu taat akan perintah Raja Tabristan sehingga rela membunuh anaknya. Ketiga nilai prihatin terhadap keluarga contoh Khoja Maimun dan saudagar prihatin dengan tanggungjawab untuk mencari nafkah buat keluarga



    Sinopsis Prosa klasik Pelayaran Yang Penuh Peristiwa Antologi Harga Remaja,

    Prosa klasik Pelayaran Yang Penuh Peristiwa, watak utama Awang Sulung Merah Muda sebagai anak raja telah menyamar sebagai budak hitam yang comot sehingga dipandang hina oleh Tuanku Nakhoda Tua. Ketika dilanda ombak yang bergelora, seisi geliung (kapal) telah mabuk dan jatuh pengsan. Anak Tuanku Nakhoda Tua, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa telah meminta dayangnya Si Kembang Cina pergi memanggil Awang Sulung Merah untuk mengemudikan geliung itu. Atas bantuan Awang Sulung Merah,  geliung itu dapat diselamatkan .
    Setelah tiga hari kemudian , ketika  laut sudah tenang, jurumudi di geliung itu telah sedar lalu mencabut kerisnya dan menikam seekor ayam . jurumudi itu menunjukkan keris yang berdarah kepada Tuanku Nakhoda Tua lalu mengatakan bahawa dialah yang menyelamatkan geliung itu. Tuanku Nakhoda Tua yang baru sedar daripada  mabuk itu turut mempercayai jurumudi itu dan berjanji jika geliung itu selamat tiba di tanah Jawa, puterinya akan dikahwinkan kepada orang yang menyelamatkan geliung itu.

    Beberapa hari kemudian, anak kapal diminta mengambil air dan kayu api.  Anak kapal lain telah pergi ke pulau untuk mengambil air dan kayu bakau. Sebaliknya Awang Sulung Merah telah berkayuh ke tengah laut untuk mengambil air laut dan membawa balik batang nipah. Setelah itu Tuan Puteri minum air laut itu dan mendapati bahawa air yang masin itu telah bertukar menjadi air yang manis.

    Tuanku Nakhoda Tua menghimpun semua anak kapal lalu mengumumkan bahawa sesiapa yang berjaya menyelamatkan  baginda, puteri baginda dan geliung itu daripada bajak (lanun) ketika meredah kawasan Laut Sekona Lingga itu dikahwinkan dengan puteri baginda .

    Ketika melintasi perairan Pulau Salah Nama, kumpulan lanun telah menyerang geliung itu. Semua anak kapal telah melarikan diri untuk menyelamatkan diri sendiri.  Tuan Puteri menyuruh Si Kembang Cina untuk meminta  bantuan Awang Sulung Merah. Awang Sulung Merah merajuk. Tuan Puteri pun menyuruh Si Kembang Cina menyediakan air limau dan sabun kepada Awang Sulung Merah. Setelah mandi, Awang Sulung Merah kelihatan kacak dan berseri-seri.  Ketika lanun ternampak Awang Sulung Merah mereka mengenali penghulu mereka lalu meminta ampu. Semua lanun telah menyerahkan semua dinar emas kepada Awang Sulung Merah untuk melangsaikan hutang kepada Datuk Batin Alam.  Semua lanun pun undur dari situ.

    Sekali lagi jurumudi itu mencabut kerisnya dan menikam ayam lalu mengatakan bahawa dialah yang mengalahkan bajak  dan menyelamatkan geliung itu. Tuanku Nakhoda Tua berasa gembira lalu hendak mengahwinkan Puteri  Dayang Seri Jawa dengan jurumudi itu. Tuan Puteri memarahi ayahandanya lalu menjelaskan keadaan yang sebenarnya.  Akhirnya Tuanku Nakhoda Tua  mengadakan kenduri secara besar-besaran dan mengahwinkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan Awang Sulung Merah.
    Setelah beberapa ketika kemudian, geliung itu pun belayar hingga Negeri Pati Talak Terengganu.  Bujang Selamat telah dititahkan oleh baginda untuk bertanya tentang tujuan kedatangan rombongan Awang Sulung Merah.  Atas keizinan isteri, Awang Sulung Merah dan anak buah pun diundang ke istana Negeri Pati Talak Terengganu. Awang Sulung Merah dijemput bertaruh dalam sabung ayam. Setelah Awang Sulung Merah berseru-seru, ayam baginda Kinantan Suci telah berjaya menewaskan ayam Bujang Selamat.



    Sinopsis Novel Melunas Rindu

     Fuad ialah seorang pemuda yang berketurunan Cina dan beragama Islam. Selain nama Fuad, dia juga memiliki dua nama lain iaitu Joshua dan Abdul Halim. Ayahnya ialah Robert Lim yang berketurunan Cina dan berkahwin dengan Mariana yang berketurunan Melayu. Walau bagaimanapun, hidupnya penuh dengan liku kerana sejak kecil lagi dia tidak mengenali dan tidak mendapat kasih sayang daripada ibu dan bapanya. Dia dibesarkan oleh Peter Lim iaitu bapa saudaranya yang juga adik kepada Robert Lim iaitu ayah kandungnya yang sebenar. Selepas itu dia menjadi anak angkat kepada Pak Ismail dan Mak Salmah. Fuad berusaha untuk mencari kubur ibunya yang disangkanya sudah meninggal dunia. Fuad mendapat sokongan

     Fuad yang telah diminta moral daripada Pak Ismail, Mak Salmah, Peter Lim, Swee Lan, dan Robert Lim sendiri memberikan bantuan untuk mengesan ibunya melalui cincin yang diberikan Robert Lim kepada Mariana. Selain itu, Fuad juga dibantu oleh Pak Said dan Pak Ngah Lias untuk mengesan kubur ibunya itu. Akhirnya Fuad mendapat maklumat bahawa ibunya tidak meninggal dunia dan masih hidup. Fuad telah ditawarkan sebagai guru sandaran tidak terlatih di Sekolah Menengah Seri Setia oleh Cikgu Abas. Setelah mempertimbangkan Fuad telah menerima tawaran tersebut. Di sekolah itu Fuad telah berkenalan dengan Farhana yang menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris di sekolah yang sama. Fuad sentiasa memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugasnya dan hubungannya menjadi semakin rapat dengan Farhana. Hubungan yang rapat itu akhirnya melahirkan perasaan cinta yang suci antara mereka berdua. Walau bagaimanapun, perasaan itu terpaksa diubah kerana hubungan mereka sebenarnya adalah sebagai adik-beradik daripada ibu yang sama tetapi berlainan bapa.

     Sementara itu Farhana menghadapi konflik dengan Cikgu Zamani di sekolah. Hal ini demikian kerana, Cikgu Zamani selalu mengkritik dan mengutuknya dengan pelbagai kritikan dan kutukan. Farhana pula mengatakan bahawa Cikgu Zamani tidak sepatutnya ponteng kelas dan tidak menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya. Sepatutnya cikgu Zamani melakukan tindakan yang selaras dengan perkara yang dikatakannya. Dia selalu mengatakan orang lain sahaja yang melakukan kesalahan dan kesilapan tetapi tidak menyedari bahawa dia sendiri melakukan kesalahan.

    Fuad pula menunjukkan keprihatinannya dengan mengambil berat terhadap Farhana. Sebagai contohnya, Fuad mengajak Farhana menaiki keretanya dan dia menghantar Farhana ke rumah ibu Farhana di Kuantan. Selain itu, Fuad juga menemani Farhana di hospital ketika ibu Farhana, iaitu Mariana yang diserang sakit lelah dimasukkan ke hospital. Ketika berada di hospital itulah Fuad mengetahui bahawa nama emak Farhana itu sama dengan nama ibu kandungnya selepas terpandang nama emak Farhana pada rekod catatan perubatan ibu Farhana.

    Fuad terpaksa menenangkan perasaan Farhana yang agak sukar menerima hakikat bahawa mereka berdua ialah adik-beradik. Fuad cukup bersedia untuk menerima hakikat itu kerana dia sudah biasa hidup dalam keadaan yang penuh dengan cabaran dan masalah. Ayah kandung Fuad juga mengesali perbuatan silamnya yang meninggalkan Mariana selepas tiga bulan berkahwin tanpa sebarang berita. Robert Lim memohon maaf daripada Pak Ismail, Mak Salmah dan juga Mariana atas kesalahan-kesalahannya itu. Fuad juga akhirnya menerima hakikat bahawa Robert Lim ialah ayah kandungnya, Mariana sebagai ibu kandungnya dan juga Farhana sebagai adik kandungnya.

    Masalah Sosial dalam Kalangan Remaja


         Budaya melepak merupakan masalah sosial yang paling banyak ditayangkan.Kita dapat saksikan bahawa kalangan remaja sering berjalan-jalan di kompleks beli-belah atau duduk-duduk di tembok jalan dengan tanpa hala tujuan. Malah, sesetengah kalangan remaja sering mengusik gadis-gadis yang lalu-lalang di tepi jalan dengan berbahasa kerang sopan, atau berbual-bual kosong dan membuat bising tanpa hala tujuan. Masalah ini akan diwujudkan kebanyakan adalah disebabkan oleh hal-hal keluarga. Ahli keluarga mereka sering bergaduh ataupun adanya yang ibu bapa bercerai. Mereka melepak di luar bersama kawannya tujuannya adalah untuk mendapatkan hiburan ataupun melepaskan geram ataupun tekanan mereka. Sesetengah pula merokok bersama kawan-kawan mereka.

       Selain itu, budaya buli juga sering berlaku dalam sekolah. Sejak-sejak ini, kita pun tahu bahawa dalam sesebuah sekolah, seorang remaja lelaki telah dipukul oleh sekumpulan remaja lelaki. Pihak sekolah tersebut juga tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan remaja lelaki tersebut disebabkan remaja kini semakin biadap dan liar.Golongan remaja akan bertindak begitu kebanyakan dipengaruhi oleh media masa.Kebanyakan filem keganasan ditayangkan dalam pawangan wayang. Jenis filem ini amat disukai oleh remaja-remaja masa kini terutamanya remaja lelaki. Jadi, mereka akan belajar tindakan yang dipaparkan dalam wayang tersebut.

        Bukan itu sahaja, remaja juga sering mengamalkan amalan lari dari rumah. Hal ini dapat diyaksikan melalui surat khabar. Remaja yang lari dari rumah kebanyakannya adalah lari bersama teman lelakinya. Remaja-remaja selalu berkawan dengan orang yang tidak berkenaan. Hubungan mereka juga berkembang dengan cepat sehingga menjadi teman lelaki dan teman wanita. Hal ini akan terjadi disebabkan pengawasan yang tidak ketat di sekolah. Kebanyakan remaja suka bertemu dengan teman lelaki atau teman wanita di depan pintu sekolah tanpa kesedaran ibu bapa. Oleh itu, mereka senang ditipu dan dipujuk oleh orang luar dengan kata manis.

        Ada juga remaja-remaja yang selalu ponteng sekolah. Mereka ponteng sekolah tujuan utamanya adalah berkunjung ke kafe internet. Mereka terjerumus dengan laman web permainan di kafe internet. Mereka boleh menghabiskan masa mereka dengan perkara yang tidak berfaedah di kafe internet. Hal ini akan terjadi disebabkan kawalan sosial yang longgar.Para ibu bapa lebih menumpukan masa dan tenaga untuk mencari mata pencarian di luar rumah, secara tidak langsung telah menimbulkan rasa bosan dan kesunyian di hati anak-anak. Lantas, anak-anak mudah mengikut ajakan rakan-rakan untuk berhibur dalam laman web.

       Tambahan pula, yang lebih seriusnya adalah kegiatan lumba haram. Mereka berlumba motosikal di tempat yang tertentu bersama kawan-kawan yang dalam kumpulan yang besar. Mereka telah membahayakan nyawa mereka dalam lumba haram tersebut. Mereka akan berbuat demikian kebanyakan adalah mereka tidak puas hati terhadap keluarga mereka atau masalah yang dihadapi oleh mereka. Mereka telah memilih cara begini untuk melepaskan geram yang ada dalam hati mereka.

       Untuk mengatasi masalah sosial yang tersisiar dalam masyarakat ini, pihak berkuasa haruslah menguatkankuasa untuk menangani masalah sosial tersebut. Tambah pula, pihak ibu bapa juga haruslah lebih mengambil berat terhadap anak-anak mereka. Bumi mana tidak ditimpa hujan. Jadi pihak ibu bapa haruslah mengubah sikap mereka yang dahulu.

      Tuntasnya, saya berharap masalah sosial ini dapat diatasi selepas pelbagai pihak telah menjalankan kewajipan mereka.

    Selasa, 30 April 2013

    Selasa, 2 April 2013

    Kursus Penataran Kurikulum BM 2013

    Hari ni kami akan mengikuti kursus penataran kurikulum BM di KK bersama Ugou dan kawan-kawan yang lain. Semoga Kursus ini memberi manfaat dan dipermudahkan segala urusan oleh-NYA.